Tuesday, March 9, 2010

Buat Adik-adik ASMUM, Selamat Berjuang!

Assalamualaikum.

Beberapa hari lalu ke program adik-adik junior asmum. Hampir satu semester juga sudah bertukar kepada organisasi baru, Alhamdulillah diberi ruang kembali untuk bertemu dengan mereka. Saya harus katakan saya bukan senior yang baik. Semester ini saya masih belum bertanya khabar mereka. Susah senang mereka, saya tidak ambil tahu.

Mungkin kerana saya sendiri serabut dengan ‘banyak’ kerja dan suasana baru. Saya agak lambat mengadaptasi dengan suasana baru, dan agak sukar berhadapan dengan tekanan. Jadi jalan terbaik adalah melarikan diri sebentar.

Cuma sedikit komen mengenai program yang diadakan. Kita berbahas secara baik, pandangan saya utarakan secara begini mungkin lebih mudah untuk adik-adik baca dan hayati. Yang baik boleh diambil tauladan yang buruk boleh campak saja tepi tasik varsity.

Sebetulnya apabila berkisar mengenai program intelektual, adalah lebih manis mengambil pakar dalam bidang yang ingin dibahas. Elok juga melihat keperluan dan objektif utama setiap program diadakan. Mungkin ramai yang bangga, kerana bilik seminar penuh. Tapi sampaikah mesej yang kita mahu berikan?

Pada pandangan peribadi, tujuan utama mengadakan program ilmiah atau intelektual adalah kerana kita ingin masyarakat kampus ditanam dengan sifat mencintai ilmu. Belajar kerana ia adalah keperluan hidup, bukan semata-mata ingin mendapatkan pointer yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Belajar kerana kita hamba Allah, yang dapat melahirkan manusia yang mempunyai sifat rendah hati. Apa yang penting, kita mahu semakin ramai yang mencintai Islam dan mendalami Islam yang sebenar.

Ada ungkapan mengatakan, ilmu yang manusia miliki hanya setitik dari air lautan. Maknanya tidak ada yang perlu mengatakan saya lebih tahu dari kamu kerana saya banyak mengikuti program begini-begini sebaliknya harus mengatakan hanya Allah yang maha mengetahui. Manusia yang bijak akan tahu bahawa semakin banyak yang dipelajari semakin kita akan mengakui bahawa kita adalah makhluk yang lemah dan jahil.

pendokong setia

Ia akan menjadi baik, apabila lahir dari hati yang ikhlas kerana Allah.

Corak diri untuk mejadi pemimpin yang baik. Hasil kepimpinan selama dua semester harus menjadikan mana-mana ahli asmum seorang yang lebih baik dari diri mereka sebelumnya. Saya tidak pernah berani mencuba untuk terlibat dalam perniagaan sehinggalah saya diberi jawatan menjadi bendahari. Saya juga tidak pernah tahu saya boleh ber’brainstrom’ dengan baik sebelum saya diberi jawatan dalam pmium. Skill komunikasi dan sifat yakin diri tidak akan dapat diperolehi dengan mudah jika tidak pernah mencabar diri dengan menjadi pemimpin yang baik. Saya tidak mengatakan saya hebat, tetapi saya tahu dengan mengganggotai persatuan Islam amat membantu saya menjadi lebih baik dari saya yang sebelum ini. Alhamdulillah.

Sifat dalaman manusia yang pelbagai adalah cabaran utama apabila bergerak kerja dalam organisasi manusia yang ramai. Kerana itu dunia hari ini amat ketandusan pemimpin dunia yang benar-benar berkredabiliti dan mempunyai karisma dan pengaruh tersendiri. Justeru ahli persatuan Islam yang sedar dan jelas kepentingan ini harus mengambil peluang dan ruang yang ada untuk menjadi yang terbaik. Masalah akademik merupakan masalah utama. Tapi semakin ramai adik-adik yang mempunyai pointer bagus tetapi masih terlibat dengan aktif. Tahniah. Saya harus akui apa yang berlaku kepada saya adalah masalah peribadi dan kesalahan diri sendiri. Adik-adik harus ada sifat ingin mencabar diri sendiri. Tok Guru Nik Aziz pernah mengatakan orang Islam tidak akan jatuh ke dalam lubang dua kali, kerana kesalahan pertama untuk dijadikan iktibar agar tidak berulang kembali. Bukankah orang yang berjaya adalah mereka yang sudah banyak kali gagal tetapi tidak pernah berputus asa untuk bangkit kembali?

Saya tidak akan masuk campur urusan kalian. Saya bangga untuk berkongsi jika diminta, dan tidak pernah meminta-minta agar saya dijadikan panduan. Bekas ydp asmum, naib presiden dan setiausaha adalah mereka yang lebih layak. Saya menghormati dan mengagumi mereka walaupun Hasna dan Ramlah adalah junior. Zulkamal pasti tidak tertanding, dia adalah calon fakulti dan mempunyai prestasi akademik yang jauh lebih baik. Apa yang berlaku, terutamanya ketika mesyuarat adalah kerana sifat degil saya semata-mata ^^.. Memulakan sesuatu dari tiada bukan mudah [asmum sudah dibubarkan selama dua tahun sebelum dihidupkan kembali]. Saya adalah orang yang paling kuat menentang idea asmum dihidupkan, tetapi Kak Mimah, Alia dan Mukhlis sangat tegar agar persatuan Islam di fakulti harus dihidupkan kembali. Semangat saya datang dari mereka, dan ramai lagi ahli yang sering memberikan sokongan tak berbelah bagi. Siapa asmum tanpa penyokong yang setia? Jadi tak usahlah nak menyombong.

Apa yang dilakukan pada hari ini hanyalah menyambung kembali rantai-rantai perjuangan. Allah sudah berfirman bahawa kita akan digantikan dengan kaum yang lebih baik sekiranya tanggungjawab dakwah itu diabaikan. Allah tidak akan membiarkan sama sekali Islam dipijak dan katandusan kepimpinan yang baik. Persoalannya cuma dalam diri kita. Sama ada kita mahu atau tidak?

Semoga Berjaya!

Saudari Syuhadah Dzarawi adalah mantan Bendahari Agung ASMUM sesi 2008/2009. Tulisan dan pandangan beliau boleh diikuti di http://merahcahaya.blogspot.com/