Assalamualaikum w. b. t. dan salam perpaduan saya ucapakan kepada seluruh mahasiswa Fakulti Sains khususnya dan tidak lupa juga kepada mahasiswa Universiti Malaya yang disayangi sekalian. Dengan penuh kebanggaan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapakan selamat menghadapi musim Pilihan Raya Kampus(PRK) yang telah bermula pada hari penamaan calon semalam.
Sebelum saya pergi lebih jauh mengenai Pilihan Raya Kampus, berminat saya untuk mengucapkan ucapan tahniah kepada seluruh mahasiswa-mahasiswa UM, khususnya dari Fakulti Sains yang telah berjaya mencapai keputusan yang baik peperiksaan akhir semester yang lepas. Semoga semester yang menjelang akan penuh gilang-gemilang lagi harapnya.
TEMPIAS AURA PRK
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapakan tahniah kepada barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) untuk sesi 08/09 yang telah Berjaya menjalankan tugas dengan sempurna. Semoga usaha murni sahabat- sahabat di janjikan ganjaran oleh ilahi.
Suasana Pilihan Raya Kampus ini semestinya suatu ‘event’ atau acara yang terbesar di setiap universiti di Malaysia terutamanya Universiti Malaya. Buktinya jelas. Jika dirujuk berita- berita dari malaysiakini.com, sememangnya berita dari kampus UM adalah yang paling menonjol berbanding kampus lain di sekitar Lembah Klang dengan isu- isu hangat yang saling dibangkitakan oleh dua puak utama iaitu Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi atau sekarang dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa.
Bahang PRK sebenarnya sudah lama dirasai. Sejak memasuki awal sesi lagi, pelbagai propaganda telah dimainkan oleh setiap penyokong yang agak fanatik terhadap kumpulan masing- masing. Tidak ketinggalan juga kematangan Mahasiswa dalam mengupas isu- isu nasional seperti isu Kartika, penggunaan kalimah Allah, Selatan Thai dan banyak lagi di mana pergerakan- pergerakan mereka menarik perhatian orang ramai.
SIAPA WAKIL FAKULTI SAINS?
Kepada calon- calon dari Fakulti Sains, Rahman, Awatif, Hanim dan juga tidak ketinggalan Robson dan Koo, saya berharap anda sahabat- sahabat dapat bertanding secara professional dan berhikmah seiring dengan gelaran Mahasiwa yang dikenali ramai sebagai golngan yang berilmu. Jauhilah ‘Politik Sempit’, provokasi, mahupun fitnah kerana berlainan aliran pemikiran. Gunakan peluang yang terhidang ini sebagai medan untuk melatih dan menilai diri masing- masing dalam bidang kepimpinan serta ia banyak menguji diri sahabat- sahabat di sudut fizikal mahupun mental. Janganlah sahabat semua dikawal dengan perasaan emosional yang akan melanda di waktu- waktu kritikal ini. Ingatlah, pertaruhan sahabat- sahabat pada PRK kali ini bukan sesuatu yang mensia-siakan mahupun membuang masa. Harapan lebih 6000 Mahasiswa Fakulti Sains sedang menanti nasib mereka nanti, siapakah wakil yang patut mereka pilih. Kebajikan, Akedemik, Perpaduan dan Agama, empat faktor utama dalam menawan hati Mahasiswa ke arah pembentukan ‘atmosfera’ sihat di kalangan Mahasiswa.
PENDIRIAN ASMUM
Apa cerita ASMUM? Kenapa tidak menghantar calon pada PRK kali ini? Soalan lazim sebegini hinggap di telinga saya sebagai YDP untuk badan pelajar yang utama di Fakulti Sains. Ingin saya jelaskan di sini, kami di pihak ASMUM sebenarnya bukanlah menentang mahupun tidak mahu terlibat dalam PRK kali ini. Sebagai ‘student board’ yang paling menonjol di Fakulti Sains, tidak adil bagi saya sekiranya kami hanya menumpukan pada satu pihak sahaja. Tamabahan pula, dalam keadaan ASMUM yang masih dalam proses ‘bertatih’, kami perlu mengambil langkah berjaga- jaga demi menjaga peranan dan tujuan utama penubuhan ASMUM ini. Amat sedih bagi saya sekiranya ASMUM ‘mati’ berbanding menghadapi ejekan dan rajukan segelintir individu yang bertindak menyelar ASMUM dengan provokasi negatif. Saya harap, sahabat- sahabat semua agar bersangka baik antara kita dan capailah kata sepakat untuk mengelakan perpecahan dan perseteruan.
KEPADA PENGUNDI
Pengundi adalah ‘nyawa’ kepada calon setiap kali PRK. Sokongan secara dalaman tanpa luahan adalah sesuatu yang tidak berguna dan sia- sia. Tunjukkan semangat kita terhadap calon pilihan yang akan menentukan masa depan Fakulti Sains. Nasib anda semua bergantung kepada mereka. Merakalah yang bakal mencorak situasi dan keadaan di Fakulti Sains. Kerjasama dari para pengundi, sebelum dan selepas PRk adalah amat penting. Di dalam kepimpinan, perlu ada interaksi antara pemimpin dan yang dipimpin. Prinsip ‘merakyatkan golongan atasan’ patut diterap dalam menjamin keprihatinan terserlah dan mewujudkan suasana yang aman tanpa ‘kekotoran sosial’. Ingin saya tegaskan, jadilah pengundi yang professional dan berhemah. Janganlah mengundi dengan buta hati, memilih atas dasar nafsu dan pilihlah calon yang boleh memimpin anda tanpa sebarang keperluan lain dan tolaklah calon yang menggunakan ‘publisiti murahan’ kerana mereka tidak ikhlas ingin mendorong anda ke gerbang kejayaan.
“KECIL TAPAK TANGAN,NYIRU KAMI TADAHKAN”
Tiada kata seindah rupa. Kami di pihak ASMUM mengambil kesempatan terhadap kekayaan bahasa melayu dengan mengambil peribahasa di atas sebagai mesej untuk bakal wakil Fakulti Sains. Kami sedia bekerjasama dengan sahabat- sahabat di samping membantu sahabat tatkala kami memerlukan sokongan yang gagah dari individu yang lebih berpengaruh. Pengalaman lalu, kami di pihak ASMUM pernah berpadu dengan wakil MPM dari Fakulti Sains dalam menyelesaiakan masalah- masalah berkaitan Mahasiswa di Fakulti Sains terutamanya dalam soal kebajikan pelajar. Diharap nilai murni ini dapat diteruskan di zaman akan dating. Semailah sifat ‘cinta’ antara kita. Buangkan segala sifat dengki dan perasaan jahat dalam memimpin manusia ke arah kegemilangan. Kita berada di jalan yang sama, menuju destinasi pun sama namun medium yang membawa kita adalah berbeza.
Akhirnya, ayuhlah kita hidup dengan berpandukan tiga konsep kehidupan yang telah disebutkan dalam al-Quran iaitu hikmah (kebijaksanaan), mau’izah (nasihat), dan mujadalah (perdebatan secara ilmiah). Dengan ruang yang sempit ini, di harap perutusan kali ini dapat member impak kepada seluruh warga Fakulti Sains. Peganglah kepada tiga konsep diatas dan jauhilah permusuhan antara kita sesama manusia. Hadapilah PRK dengan jayanya dan jadilah siswa yang terbaik seiring dengan matlamat Kementerian Pengajian Tinggi iaitu melahirkan siswazah yang berkualiti dan bertaraf global.
Sekian, terima kasih.
“ASMUM TOWARDS INTELLECTUAL & PROFESSIONALISM”
No comments:
Post a Comment